Selasa, 20 Ogos 2013

"Pekan Bandar Diraja, Hidangan Pelbagai Rasa, Bersama PM Ramah Mesra"

PEKAN 17 Ogos 2013 - Alhamdulillah, Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri YAB Dato' Sri Hj. Mohd Najib Bin Tun Hj. Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Pekan dan isteri YBhg. Datin Paduka Sri Rosmah Binti Mansor bagi tahun 1434 Hijrah disambut meriah.

Buktinya, dianggarkan 80 ribu orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum dari seluruh negara telah hadir pada majlis yang berlangsung di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Turut berangkat mencemar duli ke majlis tersebut ialah DYMM Sultanah Pahang, Sultanah Hjh. Kalsom dan anakanda YAM Tengku Ariff Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua'dzam Sultan Ahmad Shah. Tetamu VVIP lain yang hadir antaranya Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Hj. Adnan Bin Hj. Yaakob, Ketua Menteri Sarawak, YAB Tan Sri Pehin Sri Hj. Abdul Taib Mahmud dan isteri.

Kebanyakan rakyat Pekan bahkan tetamu VIP / jemputan khas dari luar Negeri Pahang dilihat telah membanjiri khemah-khemah seawal jam 9 pagi meskipun majlis bermula jam 10 pagi. Majlis yang dijadualkan berakhir pada jam 2 petang itu menyaksikan tetamu VIP / jemputan khas dan orang ramai tidak berganjak sehingga YAB Perdana Menteri meninggalkan majlis pada jam 3 petang.

Selain beramah mesra bersama PM dan pemimpin UMNO Bahagian Pekan, tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah di 200 buah kios makanan dan minuman. Sejumlah 50 ekor kambing panggang dan 40 ribu bungkusan kuih raya sebagai cenderahati disediakan untuk pengunjung terawal. Menu tempatan yang disajikan antaranya ialah Puding Raja, Laksa Pahang, Gulai Ikan Patin Masak Tempoyak dan Opor Daging sesuai dengan tema majlis pada kali ini iaitu "Pekan Bandar Diraja, Hidangan Pelbagai Rasa, Bersama PM Ramah Mesra".

Majlis diserikan dengan keletah pengacara majlis Raja Azura dan Lan Pet Pet serta tetamu dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian artis-artis popular tanah air seperti Aliff Aziz, Syura, Nash, Awie, Ramli Sarip, Ezlyn, Hafiz Hamidun dan ramai lagi.. 

Perdana Menteri dan isteri turut menyampaikan sumbangan kepada 120 orang bakal jemaah haji di Parlimen Pekan serta duit raya kepada kanak-kanak. Dalam ucapannya, Perdana Menteri merakamkan TERIMA KASIH kepada pihak Jawatankuasa dan Agensi Kerajaan yang terlibat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan